Sweet Memories...

Friday, October 1, 2010

Tentang CINTA dari perspektif diriku…

(Gambar diambil dari blog http://nurfarhanaabdullah.blogspot.com)

Topik cinta memang dah lama aku nak ulas dalam blog ni. Sebabnya topik ni memang sangat sinonim dengan diri setiap insan terutamanya apabila ianya melibatkan soal hati dan perasaan di kalangan muda-mudi dan remaja. Jadi, izinkan aku untuk mencoretkan serba sedikt pemerhatian, persepsi dan pendapat peribadiku dalam isu cinta ini…

Pendapat tentang CINTA oleh ilmuwan-ilmuwan Islam

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa’adah (Rahsia Kebahagiaan) mendefinisikan cinta sebagai suatu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah pula menanggapi cinta sebagai sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyikkan. Beliau juga mendefinisikan cinta sebagai gejolak perasaan yang muncul apabila orang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya.

Pendapat Ibnu Hazm pula aku rasa yang paling best sekali. Di dalam bukunya yang bertajuk The Ring of the Doves, sebuah epik percintaan yang tulen, menyatakan bahawa realiti percintaan hanya boleh difahami melalui pengalaman peribadi. Menurutnya lagi cinta tidak pernah dinafikan dalam agama, mahupun dalam undang-undang.

Kehadirannya diiktiraf oleh seluruh manusia dan Tuhan. Cuma yang menjadi perhitungan adalah pengamal cinta tersebut, adakah berlandaskan hukum Tuhan, atau semata-mata menurut hawa nafsu sahaja. Betulnya cinta terletak pada cara dan perlaksanaannya. Beliau mendefinisikan cinta sebagai kesatuan di antara dua jiwa yang sebelum ini terpisah di alam dunia.

Tambah beliau lagi, cinta adalah penyatuan kepada roh-roh yang terpisah di alam nyata. Ia adalah penyatuan kepada roh-roh yang terpisah di alam nyata. Ia adalah penyatuan yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kewujudan yang agung.

Pendapatku tentang definisi CINTA.

Dalam Al-Quran banyak menyebut tentang cinta. Allah s.w.t telah meyeru kepada kita untuk membuktikan cinta kita pada-Nya maka ikutlah segala sunnah Rasulullah s.a.w dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t:- Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Ayat 31 : Surah Ali’Imraan)

Bagiku cinta itu sangat luas definisinya dan dalam maksudnya. Tidak dapat diterjemahkan secara literal mahupun istilah semata-mata. Ianya hanya dapat diterjemahkan melalui pengalaman individu itu tersendiri. Cuma di mana hendak kita letakkan batasannya dan cara pengawalannya.

Mudah sahaja jawapannya, banyakkan berdiskusi dengan pelbagai jenis orang seperti alim ulama, ibu bapa dan juga kawan-kawan yang dah ada pengalaman. Kawan-kawan yang jenis warak sudah pasti berbeza dengan pandangan mereka yang mengambil ringan batasan-batasan yang dibimbing oleh agama. Tapi tidak kira sesiapa pun yang beri pandangan ianya memang sangat-sangat berguna untuk dijadikan pedoman dan sempadan.

Cinta bagiku suatu perasaan yang sangat-sangat mendalam, asyik, rindu, resah, gelisah, rasa tanggung jawab, sayang, kasih pada orang yang kita sayangi dan cintai.

Rujukan CINTA

Cuma jangan sesekali korang rujuk cara bercinta melalui filem-filem di wayang yang diajar oleh pengarah-pengarah filem di Bollywood, Hollywood mahupun Malaywood. Betul ke itu yang diertikan cinta pada masa kini yang sinonim di kalangan masyarakat dan remaja.

Aku memang dah lama pasang cita-cita dan angan-angan. Aku nak buat filem tentang kehidupan mahasiswa idealis, kehidupan mereka di kampus, cara-cara mereka bercinta yang islamik bila aku dah jadi jutawan nanti. Aku tak kisah untung atau rugi filem aku tu sebab waktu tu aku dah kaya, duit bagiku hanya sekadar mainan di hujung jari sahaja.

Tapi kalau korang nak juga bercinta cara filem wayang. Terpulang pada koranglah. Dosa masing-masing tanggung, kubur kita pun lain-lain. Lagi pun aku dah sampaikan melalui blog aku ni. Maka aku berlepas tangan. Menurut pendapat peribadiku lah..Banyaknya kes-kes wanita bunting (mengandung untuk wanita yang kahwin sahaja), pengguguran, perogolan sebabnya cinta yang ditiru dari filem-filem wayanglah.

Bebas sangat berpeleseran, pegang tangan, berdua-duaan , peluk-peluk lah sampai Hang Tuah pahlawan melayu silam yang hebat itu pun seolah-olah digambarkan bercinta macam remaja zaman sekarang. Nantilah aku nak buat filem tentang Hang Tuah versi alim dan warak. Cinta sebelum atau selepas kahwin Berbalik kepada soal cinta tadi. Pandangan aku mungkin agak berbeza dan menongkah arus sedikit.

Aku tak percaya pada cinta sebelum kahwin. Cinta bagiku suatu perasaan yang sangat-sangat mendalam, asyik, rindu, resah, gelisah, rasa tanggung jawab, sayang, kasih pada orang yang kita sayangi. Bagaimana agaknya perasaan sebegitu hendak dikongsi dengan seorang wanita yang bukan muhrim yang mungkin baru sahaja kita berkenalan?

Sebab itulah perasaan cinta ini bila berkongsi dengan wanita yang bukan muhrim maka macam-macamlah maksiat yang berlaku. Tak kira yang alim, warak apatah lagi yang jahil agama memang akan terjerumus ke lembah penzinaan. Sebab itulah dalam Al-Quran Allah s.w.t telah memberi panduan cara-cara untuk mengelak terjerumus ke lembah kemaksiatan berdasarkan firman Allah seperti di bawah:-

Firman Allah s.w.t :- Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".

(Ayat 30 : An Nuur)

Zina itu kan luas aplikasinya. Bukan setakat hubungan seks bebas tetapi juga ada zina mata, zina hati dan anggota badan yang lain. Bagiku cinta sebelum kahwin hanyalah untuk Allah s.w.t, Rasul, Ibu Bapa, Ahli Keluarga, diri sendiri dan buku-buku atau ilmu. Hati sentiasa akan gelisah jika tak laksanakan segala apa yang dicintai inginkan.

Contohnya, bagi diriku, aku sentiasa rindu nak jumpa ibu dan ayah walau pun rumahku dekat je dengan tempat belajarku. Memang tiap-tiap minggu hendak berjumpa mama dan ayah. Hari-hari dan setiap detik hati sentiasa ingat pada mereka.Resah dan risau jika tidak memenuhi harapan mereka untuk menggapai kejayaan dalam pelajaran.

Tapi aku bukanlah menolak cinta sebelum kahwin. Ini adalah pendapat peribadiku. Nanti ada pula yang pertikaikan aku menolak hak asasi manusia lain untuk bercinta. Bagiku tiada istilah cinta sebelum kahwin dengan wanita yang bukan muhrim, tapi ianya lebih bersifat rasa sayang kalau lebih pun sekadar kasih sahaja. Cinta dan hatiku pada wanita itu hanya akan kuberikan setelah dia bergelar isteriku yang sah! Masa itulah cintaku benar-benar akan kucurahkan padanya.

Sayang, kasih dan cinta berbeza darjatnya bagiku. Sayang dan kasih ni hanya bersifat luaran atau surface dan tak sedalam cinta. Sayang ni terlalu umum sifatnya. Bila kita dah mula sayang padanya (wanita itu) ianya hanya sekadar mukadimah kepada cinta yang akan teruji oleh masa dan keadaan.

Sifat-sifat cinta…

Cinta itu sendiri bersifat solid dan utuh. Tidak akan goyah diuji oleh masa dan keadaan. Contohnya:- Macam hubungan cinta antara ibu dan anak. Kalau kita ada masalah atau sakit si ibu pun boleh rasa sakit atau termimpi-mimpi pada kita. Kalau kita teringat pada ibu kita tiba-tiba ibu kita telefon kita. Perasaan cinta ini akan mewujudkan komunikasi cara telepati (hubungan hati atau deria keenam).

Pada pendapatku, bila kita dah mula suka pada seseorang wanita itu, berdoalah banyak-banyak pada Allah s..w.t dan buat solat istiharah supaya dipermudahkan jalan untuk mengenali dirinya dan doa pada Allah supaya rasa suka dan sayang yang mula wujud itu tidak terseleweng oleh tipu daya syaitan. Tapi kalau korang boleh elak untuk rasa suka dan sayang pada wanita bukan muhrim sebelum kahwin itu memang-memang sangat-sangat hebat.

(Gambar diambil dari blog http://midahpower.blogdrive.com )

Kiranya bolehlah juga kot bercinta sebelum kahwin, tapi dengan syarat kalau kenal pun sebulan atau 2 bulan lepas tu terus kahwin! Golongan ni memang hebat! Golongan ni sebenarnya cuba mengaplikasikan saranan Rasulullah s.a.w tanpa berlengah-lengah lagi seperti terkandung dalam hadis di bawah:-

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”

(Bukhari : no. 1772, Muslim : no. 2485)

Aku ada beberapa sahabat yang mengalami situasi sebegitu. Perkahwinannya dengan seorang muslimat ni (muslimat tu hafizah quran) diatur oleh Imam Besar sebuah masjid. Bila dia dah sampai kemampuan untuk kahwin terus dia jumpa ustaz tu untuk aturkan jodohnya. Sebulan, 2 bulan bertunang terus kahwin. Dia berkahwin ketika masih lagi bergelar sebagai mahasiswa. Nak elak maksiat hujahnya…

Selepas kahwin aku perhatikan sahabatku dan isteri dia ni sangat-sangat romantik cara Islam. Sampai satu tahap tu, bila isteri dia demam, sahabatku itu pun demam. Bila isteri dia pregnant, dia pula yang muntah-muntah…hehe…Sahabatku ini pula selepas dah berkahwin maqam dirinya macam dah meningkatlah.. Nampak lebih matang dan berkarisma…

Hebat betullah kawan aku ni. Kalau aku, mungkin aku nak mulakan persahabatan dahulu dengan muslimat yang ingin aku jadikan isteri. Pendekatan aku tak sama seperti sahabatku tu. Dia memang seorang yang warak dengan serban dan kopiah sentiasa di kepala sebab itulah isterinya pun dalam kategori sewaktu dengan dia.

Dia nak perkenalkan aku dengan sahabat-sahabat isteri dia tapi aku cakap diri ini tak layak dengan muslimat-muslimat hafizah ni. Cara hidup golongan hafizah ni agak berbeza dengan orang-orang biasa macam aku ni. Tapi aku yakin, pasangan kita merupakan cerminan pada diri kita juga. Sesuai dengan

Firman Allah s.w.t :- “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat ; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan yang baik..

(Surah An-Nur : Ayat 26)

Jika kita inginkan wanita solehah sebagai pasangan hidup, senang sahaja, kita kena mulakan ubah diri kita ke arah kebaikan terlebih dahulu. Kita dulu kena jadi orang yang soleh.

Perubahan untuk jadi soleh atau solehah ini adalah suatu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga akhir hayat. Tiada jalan pintas untuk capai darjat soleh. Amal ibadat yang ikhlas perlulah istiqomah dan minta pada Allah s.w.t untuk terima amal ibadat kita setiap hari…

Firman Allah s.w.t:- Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

(Ayat 2 : Surah Muhammad)

Mengenai kepentingan istiqamah dalam beramal soleh dan hikmahnya pula ‘

Allah S.W.T telah berfirman:-

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah[*] maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita.

(Ayat 13 : Surah Al-Ahqaaf)

[*]. Istiqamah ialah teguh pendirian dalam tauhid dan tetap beramal yang soleh.

Penutup

Pada awalnya hendak ulas ringkas sahaja. Tapi dah jadi banyak dan panjang pula. Oleh itu. jadikanlah kefahaman cinta dalam diri kita itu sebagai suatu yang luas dan tidak melibatkan cinta antara dua manusia lain jantina atau sesama makhluk sahaja.. Cinta itu luas maksudnya, dan cinta itu indah jika panduannya adalah syariat Islam berteraskan sunnah Nabi.. Akhirul kalam.. Wassalam.

No comments:

Post a Comment