Sweet Memories...

Tuesday, August 17, 2010

Cinta dunia buat kita jauh dengan Allah!



Oleh Effendy Bin Zulkifly


Syukur pada Allah hari ini dah nak masuk seminggu kita berpuasa di Ramadhan kali ke-13 sejak aku akil baligh. Puasa sebelum akil baligh kebanyakannya nak kejar ganjaran sehari seringgit bila berpuasa penuh dan menagih janji mama untuk beli makanan kegemaranku.

Ramadhan kali ini cukup menarik bagi diriku kerana pelbagai peristiwa yang menusuk hati dan mencengkam perasaan berlaku pada diri ini dan kali ini betul-betul aku serah bulat-bulat pada Allah untuk menenangkan emosi yang tidak berapa stabil ini.

Ramadhan kali ini juga rasanya ilham untuk menulis datang membuak-buak ibarat air yang mengalir di sungai dan muara. Kali ini aku nak menulis mengenai sikap cinta dunia. Acap kali kita mengeluh duit tak cukup, risau tak cukup sediakan kelengkapan keluarga bagi mereka yang berkahwin, takut miskin, takut mati, takut sakit dan bermacam-macam takut disebabkab cinta dunia yang cukup tebal.

Bagiku dari apa yang difahami melalui pembacaan dan mendengar guru-guru agama memberi takirah, cinta dunia ini adalah bermaksud yang aku faham apa sahaja yang kita buat di atas muka bumi ini semuanya dinisbahkan untuk kesenangan dunia semata-mata.

Misalnya, bila kita bercakap, berbual bersama keluarga dan rakan-rakan berapa peratus kitacakap tentang perkara agama, perkara tauhid dan ilmu-ilmu Islam. Biasanya perbualan berkisar tentang nak makan apa, kerja apa, nak bercuti ke mana, tentang kereta, tentang nak beli rumah, tentang nak buat bisnes, tapi tentang agama satu peratus pun tiada dalam percakapan.

Kerisauan kita tentang tak cukup duit sentiasa buat kita terlupa bahawa di belakang kita, di sekeliling kita ramai lagi yang merempat, tak cukup makan, mengemis dan sebagainya. Kita risau duit kita tak cukup nak besarkan anak-anak, sedangkan keyakinan kita pada Allah bahawa rezeki untuk anak-anak memang terjamin untuk mereka.

Bagi mereka yang bersekolah, belajar bersungguh-sungguh nak masuk universiti, dah masuk universiti nak ijazah. Dah dapat ijazah nak cari kerja lepas itu kahwin. Dapat anak dan kita bentuk pola yang sama iaitu sekolah-universiti-kerja-kahwin-dapat anak-mati. Tapi sedar tak bahawa hidup kita di dunia bukan sekadar itu sahaja.

Sumbangan kita pada agama, pada masyarakat memang ditaklifkan ke atas umat Muhammad. Hidup tidak semudah itu; sekolah-universiti-kerja-kahwin-dapat anak-mati. Aku memesan diri aku sendiri dan aku selalu merenung pola hidup sebegitu memang dah didoktrin oleh mak bapa sejak kecil. Tapi hati kecil tetap bertanya kenapa jiwa dan hati tidak tenang?

Jawapannya kembali kepada kefahaman hidup Islam yang syumul. Kadang-kadang hati timbul rasa cemburu melihat cara kehidupan orang kaya, senang dan segalanya ada. Hidup ini dirasa banyak sangat ujian dan dugaan. Tapi aku yakin ujian-dan dugaan yang Allah beri sebagai petanda kita di dalam perhatian-Nya.

Diduga supaya kita segera ke pangkal jalan, berdoa, bertafakur memuji dan merayu padanya... Ibarat taufan yang datang untuk mengembalikan alam ke suasana normal, tenang dan bening begitulah ujian dan dugaan yang ditimpa kepada manusia segalanya bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Manusia akhir zaman berlumba-lumba mengejar dunia yang akan musnah. Tak salah mengejar dunia, tak salah mencari kekayaan tapi jangan diabai kesedaran agama, kesedaran pada ilmu tauhid, ihsan dan akhlak. Sumbangan pada Islam perlu dilakukan dengan segala kelebihan yang kita ada. Mulut dan hati kita elakkan hanya berbicara soal duniawi.

Bila berbicara selitkanlah dengan perbualan tentang agama dan perkara ukhrawi supaya hati tidak keras dan gelap. Semoga apa yang dinukil ini menjadi keinsafan buat diriku sendiri yang seringkali lalai dan alpa dalam mengingatimu Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa kami dan berikanlah petunjuk dan taufik hidayah-Mu pada kami Allah agar menjadi insan soleh yang bertakwa dan beriman. Amin Ya Robbal A’lamin.

No comments:

Post a Comment